Monday, January 3, 2011

Hidup Yang Cantik :)

Assalamualaikum wbt.

Bismillahirrahmanirrahim.

Hidup ini cantikkan? Mari kita lihat dari 'kaca mata' yang cantik. Kita akan dapat melihat betapa cantiknya perjalanan hidup kita selama ini. Kita yang rugi selalu menggunakan 'kaca mata' yang salah. Saya pun begitu, selepas ini tidak mahu salah lagi memakai 'kaca mata'.



Berazam dan akan sematkan dalam hati yang paling dalam akan melihat hidup yang cantik ini menggunakan 'kaca mata' yang sebenarnya. Tidak mahu melihat dan meraba-raba seperti orang rabun mencari barang!



Kehidupan sekarang di peringkat akhir menjadi pelajar Tibb memang penuh cabaran. Tersedar yang tahun ini adalah tahun terakhir saya akan berada di sini. InsyaAllah. Sangat berharga rasanya masa sekarang yang nanti tak akan kembali lagi. Ingin menggunakan sebaiknya masa sekarang untuk mengutip ilmu sebanyaknya!


Kecantikan hidup yang hanya akan dirasai apabila kita bersyukur dan sabar menjalani apa sahaja yang mendatang dalam perjalanan yang lama ini. Sabar dan syukur!


InsyaAllah akan terus melangkah dengan senyuman dan semangat setiap hari. Berusaha mengutip pelajaran hidup yang ada :) Mencari mutiara yang tersembunyi :) Menghargai setiap peluang yang ada!


Masalah yang datang adalah cabaran yang mendidik diri untuk lebih bersedia ke alam kerjaya nanti. Tidak akan mudah rasa kecewa dan putus asa. Saya akan terus berusaha. Belajar mengenai manusia dan bekerja dengan manusia memang susah dan sangat mencabar. Jadi ini adalah peluang yang Allah swt berikan untuk saya terus berusaha dalam D & T. InsyaAllah :)


Akan sentiasa mencari peluang dan berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik!

**Terima kasih kepada friends di Tumblr dengan gambar yang cantik di atas.

*Nota saya 1 : Part 2 : Tahun 1431H / 2010 M akan disambung nanti :) Catatan saya untuk seterusnya. Sudah tercatat lama belum dalam bentuk tulisan sahaja lagi.

*Nota saya 2 : Hari ini post oncall (setelah semalam bekerja sehingga jam 5 am di unit kecemasan) , jam 6 am follow up pesakit di wad Dahlia. Masuk sub divisi baru Thorax yang lebih baik dari sebelumnya. 

*Nota saya 3 : Laughter is the best medicine :) Bestnya kalau nanti setiap hari ada yang membuat humor dalam kehidupan saya nanti. Tak salah bermimpi kan? =) Serius sangat tak bestlah kan. Orang yang suruh saya senyum sokmo! Sudah lama tak mendengar khabar anak muda gigih berusaha itu.

**Tibb - perubatan  **D & T - dakwah dan tarbiyyah

Sunday, January 2, 2011

Part 1 : Tahun 1431H / 2010 M

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah tahun 1431H dan 2010M sudah melabuhkan tirai masing-masing. Syukur masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan oleh-Nya untuk sampai ke tahun baru 1432H / 2011M. Rasa sungguh cepat masa berlalu. Harini sudah 27 Muharram dan 2 Januari. Mari kita lihat sedikit apa yang dah berlaku setahun lepas. Semoga ini akan menjadi pelajaran dan pengalaman yang sangat bermanfaat buat saya. InsyaAllah.

Tahun Klinikal

Setahun penuh 2010 adalah tahun klinikal saya di Rumah Sakit Hassan Sadikin (RSHS), Bandung. Penuh pengalaman, pelajaran, dugaan, cabaran, naik dan turun, pahit dan manis. Semuanya menjadikan saya lebih kuat dan banyak yang saya dapat belajar bukan sahaja dari bidang perubatan tapi banyak belajar tentang kehidupan di sini. 

Bermula bulan Januari-Jun saya tak balik ke Malaysia. Sebenarnya sejak mula tahun klinikal pada bulan Oktober 2009 - Jun 2010 saya tak pulang ke Malaysia. Lama kan? Rasa tak percaya  dengan diri dapat bertahan di sini. Awal Jun 2010 saya pulang ke Malaysia selama 6 minggu. Memang banyak saya buat kalau di rumah. Pertengahan Julai 2010 pulang kembali ke sini, bumi Bandung. Sehingga saya menulis harini itulah kalini terakhir saya pulang bercuti ke Malaysia.

Tahniah sekali lagi kepada diri saya dengan pencapaian ini, pulang ke Malaysia sekali sahaja dalam setahun. Belum pernah lagi tahun sebelumnya saya pulang hanya sekali. Selalunya 2-3 kali dalam setahun. Cukup menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha di Bandung. Alhamdulillah sudah selesai rotasi klinikal yang mencabar. Rotasi klinikal yang sudah dan bakal  selesai:
  1. Ilmu Penyakit Dalam (internal medicine)
  2. Saraf (neurology)-Jiwa (psychiatric)- Forensik (forensic)
  3. Ilmu Kesehatan Anak (paediatrics)
  4. Ilmu Kesehatan Masyarakat (public health)
  5. Obstetriks & Ginekologi (obstetrics & gynaecology)
  6. Telinga Hidung Tenggorokan (ear nose throat)- Mata (ophthalmology)- Gigi Mulut (teeth and oral)
  7. Ilmu Bedah (surgery)
  8. Radiologi (radiology) - Anestasi (anaesthesiology)- Kulit&Kelamin (dermatovenerology)
Tinggal rotasi surgery yang minggu depan sudah masuk minggu ke-6. Yeay! :) Rotasi major terakhir. Tinggal 3 lagi rotasi minor (no 8). Semoga saya lulus dengan baik semua rotasi klinikal. Semoga dipermudahkan semuanya. Doakan saya semua! 

Awal-awal masuk klinikal memang rasa boleh ke tak buat ni (monolog dalaman), tapi semakin lama semakin dapat sesuaikan diri. Sekarang kalau jalan-jalan di rumah sakit dan ada keluarga pesakit tanya, "Neng(anak), ruang(wad) 17 di mana?". Dah boleh jawab tanpa teragak-agak lagi. Sudah tahu selok-belok RSHS. Besar RSHS ini. Boleh kurus sesiapa yang masuk klinikal di sini.

Ma saya cakap, 

"Ma tengok angah semakin kuat  sejak masuk klinikal, lagi-lagi di sini" (ma bandingkan tempat along belajar di Malaysia dengan tempat saya belajar di sini). 

Baru-baru ini ma ada beritahu melalui telefon katanya lagi, 

"Susah belajar di sana, ma tahu tak sama dengan tempat along belajar, asrama di belakang sahaja". Bandar Cheras dibandingkan dengan Bandung :) Sungguh jauh. Ada kelebihan dan kekurangan di sini dan juga di sana. 

Oh lupa nak cakap ma, abah dan adik bongsu saya datang di sini awal bulan 12 haritu :) Sangatlah bahagia ada keluarga datang! Terima kasih ma abah adik datang lawat angah dan Hafizi di sini.

*sambungan nanti, ada jemputan makan pulut kuning dari Cik Ada :)

**Nota saya : 
  1. Malam ni oncall di surgery yang ke -10. Yeay! Haritu saya oncall pada malam tahun baru. Memang banyak pesakit (dapat kes yang tiada pada hari biasa).
  2. Saya kongsikan salah satu azam baru saya setelah membaca artikel yang sangat bermanfaat di blog Memberi Menambah Kelebihan Diri : saifulislam.com
  3. "Memberi, tidak pernah mengurangkan apa yang ada pada diri, malah menyuntik subur berkat dan kemajuan." Lebih memberi dan lebih memahami erti hidup pada memberi.
  
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”
[Al-Israa' 17: 7]


Ku Bersaksi


 Aku melihat dunia pada mengenalmu
Namun tak hentikan ku untuk terus mencarimu
Sampai ku rasa ada suatu yang berbeza
Kehampaan di jiwa terjawab sempurna

Di sini ku temukan kedamaian
Tiada yang lain kan menggoyahkan
Ku ikrarkan sungguh sepenuh hatiku
Sepenuh hatiku

Aku bersaksi bahawa tiada selain Allah
Penguasa alam semesta
Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad
Itu utusanNya bagi seluruh manusia di dunia

Keyakinan hati ini
Membuatku memilih jalan ini
Selamanya akan aku pasrahkan
Hidup dan mati kepadamu Tuhan 


*Lagu pertama membuka tirai 2011.

Friday, December 31, 2010

Ketenangan (Sakinah)

Assalamualaikum wbt

Hari terakhir dalam tahun masihi 2010, saya tutup dengan artikel di bawah. Semua orang mencari ketenangan (sakinah). Semoga kita semua bertemu dengan sakinah yang kita cari. InsyaAllah.

(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra'd : 28)


Makna Mengingati Allah

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

PADA suatu Subuh, Saidina Bilal melihat Rasulullah s.a.w menangis teresak-esak. Apabila Bilal bertanya mengapakah baginda menangis, lalu Rasulullah s.a.w menjawab baginda baru saja menerima wahyu (ayat 191 hingga 195 surah Ali-Imran).

Apakah kandungan ayat berkenaan yang menyebabkan Rasulullah s.a.w menangis? Dalam ayat pertama, Allah menerangkan mengenai sifat orang yang mengingati-Nya pada waktu berdiri, duduk dan berbaring.

Menurut Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirnya, semua keadaan itu (berdiri, duduk dan berbaring) adalah simbolik untuk semua keadaan termasuk peribadi, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain.
Maknanya dalam seluruh hidup kita sama ada belajar, bekerja, bergaul, berumahtangga malah apa saja, adalah dalam keadaan sentiasa mengingati Allah.

Apakah yang dimaksudkan dengan sentiasa mengingati Allah? Adakah ini bermakna kita menyebut perkataan Allah, Allah, Allah, pada setiap masa?

Sebenarnya apa yang dituntut Allah ialah supaya kita menentukan setiap perkara yang kita lakukan mestilah:
  • Untuk mencari matlamat Allah;
  • Dilaksanakan mengikut syariat Allah; dan
  • Meletakkan pengharapan kepada Allah, bukan kepada usaha kita semata-mata.
Ini bermakna kita perlu sentiasa memikirkan adakah kehidupan kita seluruhnya berada dalam keadaan seperti di atas. Adakah kita telah menjadikan seluruh hidup kita sebagai perhambaan kepada Allah dalam pengertian di atas?

Dalam ayat seterusnya Allah menyebutkan sifat mereka yang berfikir mengenai keajaiban kejadian langit dan bumi.

Mereka berfikir sehingga dapat membuat kesimpulan bahawa semuanya dijadikan Allah bukan sia-sia. Kemudian mereka berdoa supaya ‘selamatkanlah’ diri mereka daripada api neraka.

Abdullah Yusuf Ali menafsirkan api adalah simbolik kepada hukuman yang pedih. Apa yang penting di sini ialah hubungan antara berfikir dengan selamat daripada api neraka.

Marilah kita bertanya diri sendiri adakah kita sudah berfikir dengan bersungguh-sungguh sehingga kita merasai akan kehebatan ciptaan Allah?

Banyak perkara yang boleh kita fikirkan, misalnya penciptaan manusia sendiri dan penciptaan unsur utama alam iaitu udara, air, tumbuhan dan haiwan.

Kehebatan ciptaan Allah sepatutnya menjadikan hati kita tunduk pada kebesaran Allah. Apabila kita tunduk pada kebesaran Allah, kita akan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Kita sedar kejayaan yang sebenar ialah apabila kita selamat daripada api neraka. Allah menyebutkan dalam ayat di atas, sesiapa yang dimasukkan ke dalam api neraka sebenarnya mendapat kehinaan.

Cuba kita fikirkan mengenai kegagalan yang dialami di dunia ini. Sekiranya kita gagal peperiksaan pun kita berasa malu dan terhina.

Begitu juga dengan orang yang gagal dalam temuduga pekerjaan, berasa malu dan hina. Apa lagi orang yang didapati bersalah dan dihukum masuk penjara, mereka akan berasa kehinaan yang lebih besar lagi.

Jadi satu ciri azab akhirat ialah kehinaan. Kita terhina di hadapan seluruh manusia, di hadapan Allah dan para malaikat-Nya. Bukankah ini merupakan sumber motivasi yang terbesar untuk manusia mengabdikan diri kepada Allah dalam pengertian sebenarnya?

Dalam ayat di atas juga disebutkan, mereka berdoa sekali lagi supaya Allah tidak menghinakan mereka di akhirat. Ini menunjukkan betapa beratnya seksaan menanggung kehinaan di akhirat nanti. Lebih berat daripada segala bentuk kehinaan di dunia.

Akhirnya Allah memperkenankan permohonan mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.

Sekali lagi, Abdullah Yusuf Ali mengatakan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya ialah simbol kebahagiaan dan kemewahan yang tidak terhingga yang sesuai dengan keadaan masyarakat Arab pada masa itu (ketika wahyu diturunkan).

Ini kerana sungai satu nikmat yang tidak terhingga bagi masyarakat yang hidup di tengah padang pasir yang kering kontang.

Oleh itu, sudah tentu kita boleh membayangkan bentuk kemewahan dan kenikmatan yang tidak terhingga itu. Malah Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa nikmat di syurga Allah adalah sesuatu yang tidak pernah dipandang, tidak pernah didengar dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Itulah nikmat dan kejayaan sebenar.

Apakah yang perlu kita fikirkan? Sebenarnya perkara yang disebutkan di dalam ayat di atas itulah perkara pertama yang perlu kita fikirkan. Selain itu, ada perkara lain lagi yang perlu kita fikirkan.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah menceritakan mengikut apa yang tersebut di dalam kitab Nabi Ibrahim a.s yang bermaksud: “Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu:
  • Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.
  • Waktu untuk dia bermuhasabah terhadap dirinya.
  • Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan Allah.
  • Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.
Adakah kita sudah memikirkan mengenai empat perkara di atas ataupun kita menumpukan pemikiran kepada aspek tertentu sahaja? Dunia di sekeliling kita hanya memikirkan mengenai perkara yang keempat.
Sekiranya kita tidak berhati-hati, suasana yang ada di sekeliling kita boleh mempengaruhi kita sama ada kita sedar atau tidak. Mungkin secara tidak disedari kita hanya memikirkan persoalan yang keempat sahaja. Rugilah dan malanglah kita.

Tuesday, December 28, 2010

BERTUAH

Assalamualaikum wbt

Hari ini tiba2 rasa bertuah sebab belajar di sini :) Sudah tahun akhir baru rasa bertuah. Dah rasa bertuah dulu tapi hari ini dan semenjak akhir2 ini rasa semakin bertuah. Bertuah saya rasa boleh tukar kepada rasa yang lebih baik iaitu bersyukur. Ya bersyukur! Rasa bersyukur sebab belajar di sini dan rasa banyak dapat belajar di sini.

Rasa bertuah sebab kat RSHS (rumah sakit hassan sadikin) ini dapat belajar dan lihat banyak penyakit. Kebanyakan penyakit yang belajar secara teori sewaktu di zaman pre-klinikal semua boleh lihat di sini. Seronok dapat jumpa keluarga pesakit dan buat History Taking. Dapat asah skill komunikasi untuk lebih baik selain dapat ilmu Tibb (medical).

Sewaktu masuk bedah (surgery) sekarang dapat buat banyak skills. Mengasah kemahiran cucuk orang, ambil darah, pasang catheter, ambil ubat dan bagi pesakit dan paling penting dapat belajar menjahit (jahit kepala orang lagi-seram bunyinya. iskh iskh). Mempelajari seni menjahit dan latihan menjahit. Alhamdulillah semakin minat menjahit (tak berapa minat jahit baju selama ini).

Selain pelajaran perubatan, yang paling berharga adalah dapat latihan untuk sabar dengan banyak! Sabar dengan semua perkara dan juga dalam semua keadaan. Alhamdulillah banyak dapat pengajaran selama di RSHS ini. 

Belajar di sini (negara jiran malaysia), memang tak seindah di negara sendiri, tapi yang paling penting dapat banyak pengalaman dan ilmu. Kalau nak cerita pengalaman di sini berhari2 pun tak habis. Cukuplah tulisan ini pada kali ini :)

Pagi tadi

Hari ini jadual saya di wad kanak2 di lantai 2 (tingkat 2). Saya seorang sahaja ke sana, teman2 yang lain di lantai 3 dan 4 kerana di sana lebih banyak pesakit. Bahagian urologi di wad kanak2 hanya ada 4 pesakit. Rasa sangat gembira sebab dapat jumpa baby dan kanak2 yang comel sungguh! Rasa tenang jiwa lihat wajah mereka. Sempat jugaklah saya cubit pipi salah seorang dari mereka. (rindu iman pulak!)

Hari berakhir di RSHS dengan makan red noodles jam 4 pm. Sengaja selesaikan makan malam dan solat asar di RSHS supaya pulang boleh selesaikan kerja lain. Red noodles lebih kurang macam mi bandung. Sangat suka makan mi bandung. Di sini walaupun di bandung tapi tak ada mi bandung -__-"

**Nota saya:
  1. Merancang untuk menulis setiap hari sehingga tahun depan. 
  2. 7 hari mencari cinta. InsyaAllah (dihitung mulai 23/12) :)
  3. Syukur dan sabar sungguhlah di akhirnya memang manis! Cubalah!