Tuesday, November 24, 2009

Motivasi: Melihat masa hadapan

Masa kecil, saya suka baca Doraemon. Antara yang ada pada Doraemon adalah mesin masa hadapan. Dari situ, saya sering tertanya-tanya apa masa hadapan saya. Pertanyaan itu saya bawa, hinggalah saya dewasa.

Dan konsep masa hadapan saya berubah mengikut tumbesaran saya. Sampai satu tahap, akhirnya saya sedar bahawa, masa hadapan itu dicorak oleh tangan kita sendiri. Masa hadapan kita, diadun dengan keadaan kita hari ini.

Dan kita tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku untuk mencorakkan masa hadapan kita.

Apa yang kita mahu?

Apa yang kita mahu untuk masa hadapan kita?

Mungkin orang yang biasa, dia akan berimpiankan rumah besar, kereta besar, isteri cantik, suami hensem, anak comel, harta banyak, jawatan tinggi dan sebagainya.

Orang yang luar biasa, dia akan mengharap untuk memimpin sebuah kumpulan, menjadi kepala negara, atau hendak mengubah dunia.

Orang yang lebih luar biasa, dia akan bercita-cita untuk kebaikan akhiratnya.

Kita dari golongan mana?

Apa pun golongan kita, semua itu kita putuskan hari ini. Dari apa yang kita hendakkan itu lah, kita sebenarnya memandu diri kita ke arah itu. Jika kita hendak rumah besar, macam mana sekalipun kita akan usaha mendapatkan rumah besar. Secara tidak langsung kita akan mendidik diri kita untuk menjadi orang yang hendakkan rumah besar, kita studi untuk dapat rumah besar, kita kerja untuk dapat rumah besar. Disiplin kita, disiplin untuk mendapatkan rumah besar.

Nampak? Cita-cita, kehendak, harapan, itu semua antara unsur yang mencorakkan peribadi kita. Masa hadapan kita, bergantung kepada apa yang kita cita-citakan, harapan kita, dan kehendak kita.

Justeru, apa yang anda mahu?

Dia hebat, saya tidak hebat

Ayat yang biasa kita dengar, oleh orang yang tak berapa berjaya kepada orang yang berjaya.

“Dia boleh la, dia hebat. Saya ni apa la sangat”

Kalau kita kembali ke belakang, dan melihat semula kehidupan masa lalu kita, sebelum hari ini tiba, apa yang kita fikirkan dalam kepala kita? Pernah kah kita merancang untuk menjadi hebat? Pernah kah kita berusaha untuk menjadi hebat? Pernah kah kita buat plan untuk berjaya? Dan kalau kita sudah buat semua itu, adakah kita bersungguh-sungguh melakukannya?

Ada dua jenis manusia di dalam dunia ini.

Genius, dan tidak genius. Dan pada saya, genius dan tidak genius ini, sama sahaja. Kedua-duanya bergantung pada usaha. Kalau kita ni genius, tapi tak pandai guna kegeniusan kita, tak usaha, tak ada cita-cita nak jadi hebat, tak ada impian, maka kita akan berakhir di satu tempat yang tidak sepatutnya dengan kegeniusan kita. Anda boleh check senarai mereka yang genius di dalam Malaysia, dan di mana tempat akhir mereka. Kebanyakannya bukan di universiti, bukan di tempat kerja yang bagus, bukan di tempat kepimpinan.

Kenapa? Kerana mereka tiada harapan, tiada impian, tiada cita-cita untuk menjadi hebat.

Bagi yang tidak genius, apakah tiada harapan? Kita sebenarnya yang memutuskan. Pada saya, kalau kita tidak genius, maka kita perlu menjadi golongan yang berusaha kuat. Yang penting kita ada cita-cita, kemudian kita berusaha separuh mati mencapai apa kita mahu.

Namun siapa antara kita yang berusaha? Maksud saya, berusaha dengan bersungguh-sungguh?

Masa hadapan terindah

Ada orang kata pada saya:

“Buat apa la usaha sungguh-sungguh sangat? Rumah akan hancur, isteri akan hodoh, anak nanti tak comel dah, harta akan susut, kerja akan pencen, last-last mati bukan boleh bawa semua tu. Buat apa susah-susah?”

Saya ketawa. Rumah mana akan hancur? Isteri mana akan hodoh? Anak mana yang tidak comel? Harta mana akan susut? Kerja apa yang akan pencen? Apa benda yang kita tidak boleh bawa masa mati?

Pada saya, semua itu akan kekal abadi. Semuanya boleh bawa masa mati. Andai kita dirikan masa hadapan kita itu, atas dasar keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Kita kahwin dengan pasangan kita bersama hubungan yang syara’, mengharapkan redha Allah, insyaAllah hubungannya kekal ke syurga, dan dia tidak akan kelihatan buruk langsung di hadapan kita. Kita bina rumah untuk dapat redha Allah, kita guna rumah kita untuk didik anak-anak kita yang terbaik, untuk kita buat majlis amal, maka rumah itu akan kekal mengikuti kita menjadi saksi di akhirat atas amalan kita. Harta kita guna dengan baik, untuk sara keluarga dari sumber yang halal, kita sedekah pula, kita lakukan zakat dengannya, kita beribadah dengan harta kita, maka setiap sen itu akan Allah datangkan semula di akhirat dengan berkali ganda lipat. Kita kerja sebagai wasilah dakwah, kita jadi cikgu kita didik rakan sekerja dan anak murid, kita jadi doktor kita usaha dakwah pesakit dan tunjuk syakhsiah yang baik, kita jadi pemimpin yang adil, yang membina rakyat, yang tidak zalim dan menjaga pula agama Allah, kita jadi apa pun, kita bawa syakhsiah Islam dan usaha buat orang tertawan dengan Islam. Dan semua ini, akan menemani kita dalam perjalanan hayat yang seterusnya.

Masa hadapan terindah di syurga.

Sebab itu, pada saya, mereka yang bercita-cita mendapatkan redha Allah SWT, adalah manusia yang lebih dari luar biasa. Kerana mereka telah melihat sesuatu yang asli, yang abadi, yang terindah bagi diri mereka. Dengan cita-cita ini, mereka mempergunakan apa sahaja yang ada di dunia ini untuk mendapat keredhaan Allah SWT, bukan mereka dipergunakan oleh dunia untuk mengingkari Allah SWT.

Masa hadapan orang sebegini, walau di dunia dia susah, penghujungnya tetap satu, yang terindah.

Apa masa hadapan yang lebih indah, bermakna daripada masa hadapan di syurga Allah SWT?

Penutup: Coraklah masa hadapan

Justeru masa hadapan apa yang kita kehendaki?

Pada saya, melihat masa hadapan amat penting. Masa hadapan ibarat cahaya di tengah kegelapan. Masa hadapan ni macam lampu penunjuk arah. Masa hadapan akan memandu hala tuju hidup kita, pembinaan syakhsiah kita.

Teringat saya akan hadith niat.

“Setiap amal itu dengan niat, dan bagi setiap orang apa yang diniatkannya, barangsiapa yang niat hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya akan bergerak kepada Allah dan rasul-Nya, barangsiapa yang berhijrah kerana perempuan untuk dikahwininya, atau dunia kerana inginkan kesenangannya, maka dia akan berhijrah kepada apa yang diniatkan hijrah olehnya” Hadith riwayat An-Nawawi.

Sama-sama kita corak masa hadapan kita.

Harapnya, masa hadapan kita adalah untuk Islam.

ps: di sini saya letakkan satu sajak bahasa inggeris nukilan pemilik gambar di atas. Gambar di atas bertajuk ‘The Light of Future’ oleh Gilad, saya ambil dari Deviant Art.

With the darkness closing in, I gaze into the light
The darker my past, the brighter my future
The emptiness ahead is filled with my dreams
With my actions

You never know when stepping in the light
If you are blinded by your future
Or skeptic from your past
Tired of your present

You need a change, you need hope
No more darkness in your life
This leap may be one you fear
But now, the future is near


mari menjadi hamba

No comments: