Saturday, June 6, 2009

INSYIRAH

“Assalamualaikum ustaz. Ana harap ustaz dalam keadaan baik-baik jua. Ana nak maklumkan pada ustaz, yang ana telah memaklumkan hal kita kepada ayah ana. Alhamdulillah ayah tiada halangan. Kakak-kakak ana juga tiada halangan,” mesej yang aku dapat hari itu amat mengejutkan. Darah aku mengalir pantas tiba-tiba. Muka aku merah malu-malu. Aku tak tahu di mana mahu aku sembunyikan muka ku ini.

Aku telah lama bersahabat dengan Insyirah. Ya, Insyirah merupakan satu nama yang menarik. Ia diambil daripada satu nama surah dalam al-Quran yang menunjukkan kepada ketenangan dan kedamaian. Insyirah merupakan seorang muslimah yang sangat disenangi ramai.

Dia menjadi naqibat. Ramai yang memuji-mujinya kerana ia pandai menjaga hati dan kebajikan adik-adik usrahnya. Bagi Insyirah, usrah bukanlah tempat untuk mencurahkan ilmu pengetahuan. Usrah baginya adalah tempat membina ukhuwah dan membina kefahaman. Insyirah juga seorang yang sangat peramah. Ia akan menegur sesiapa sahaja yang dijumpai tidka kira muslim mahupun tidak. Sikap Insyirah sebeginilah yang melayakkannya mendapat undi kedua tertinggi dalam Pilihan Raya Kampus di IIUM baru-baru ini.

Aku juga sering mendengar orang memuji Insyirah sebagai seorang yang sangat pemaaf, juga pemurah. Pernah calon aspirasi menolak Insyirah sehingga jatuh tersembam semasa kempen namun dibalasnya dengan senyuman dan pelukan. Malah Insyirah yang memohon maaf kepada calon aspirasi tersebut. Biarlah aku rahsiakan siapa namanya. Dalam bab pemurah, Insyirah tidak pernah kedekut. Sehinggakan kawan-kawan muslimah lain memberitahuku bahawa Insyirah pernah tidak makan seharian kerana menghabiskan duitnya untuk berbelanja kawan-kawan lain yang menghadapi masalah kewangan.


« Apa rahsia sehingga ukhti sehingga ukhti berjaya sebegini ? Dalam pelajaran mahupun sosial, » aku bertanya kepadanya suatu hari. Ketika itu, kami baru sahaja usai bermesyuarat. Insyirah yang ditemani kawan baiknya Fitrah tersipu malu. Aku mendesak-desaknya supaya menceritakan kepadaku rahsia kejayaannya.

« Ana melihat faktor utama kejayaan ana ialah bantuan dari Allah. Maaf ye Ustaz, ana ada hal yang lebih penting. Ada urusan kebajikan akhawat yang perlu ana selesaikan di Mahallah Aisyah sekarang. Maafkan ana ye, ustaz. Assalamualaikum,” kata Insyirah sambil berlalu pergi. Aku tahu, sebenarnya ia malu untuk menceritakan rahsia kekuatannya. Fitrah hanya meleretkan senyuman kepadaku sambil mengangkat ibu jari tangannya. Ceh, minah ni, memandai pulak.

“Akhi, si Insyirah tu, tahajjud tak pernah tinggal. Tu yang orang sayang sangat kat dia tu, » kata Fadhil satu ketika. « Ha, tak pernah tinggal. Jadi, masa uzur pun dia tahajud juga ke ? » Balas aku dengan nada bergurau.

« Nta ni, mula la tu mengarut. Ana ni akh, ana pun suka si Insyirah tu. Tapi tu la, rasa segan pulak nak mendekati orang semacam dia. Yela, kita ni Subuh pun lewat, nak orang yang suka tahajud pula. Penat ana nanti, akh. » kata Fadhil sambil disambut deraian tawa kami.

Insyirah, Insyirah. Ke mana-mana aku pergi, ada je muka kamu. Yelah, poster-poster calon pihak Pro-M sampai sekarang belum ditanggalkan lagi. Untung orang tua Insyirah ni. Haji Sibyan, siapa tidak kenal Tuan Haji ni. Haji Sibyan adalah seorang ustaz yang sangat wara’. Aku dengar, dia berjalan pijak semut pun tak mati. Maksud aku, jalannya tawadhu’ Mulutnya selalu terkumat-kamit. Hajjah Aminah pula, tak pernah dapat aku tengok wajahnya. Ia tersembunyi di sebalik sekerdup kain kecil. Mesti wajahnya secantik anaknya juga. Fuh.. Ish, takkan aku nak mengorat emaknya pula. Anak dia kan ada, hehe.

Hari itu, sempat aku mendengar Insyirah menyampaikan tazkirah dalam pertemuan kami di Fakulti llmu Wahyu. Jarang sebenarnya kami memberikan peluang kepada akhawat untuk menyampaikan tazkirah, tetapi Insyirah adalah lain daripada yang lain. Presiden WUFI, Zaki tak berkelip-kelip matanya melihat Insyirah menyampaikan tazkirah. Ceh, si Zaki ni, mahu potong line aku nampak. Siapla ko nanti. Getus hati aku, geram.

“Ikhwah akhawat yang dikasihi,” Insyirah memulakan kata-katanya. Yang dikasihi, kuikui. Aku senyum sendirian. Tak sangka aku juga dikasihi oleh Insyirah. Wah, seronoknya. Aku tersenyum simpul sendirian.

“Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada ahli gerakan yang hanya wara’ dan soleh tetapi tidak mempunyai kebijaksanaan dalam mengatur strategi. Kita mesti menggabung jalinkan antara nilai sunnatullah dan syari’atullah. Sunnatullah menunjukkan kemenangan Islam hanya di tangan manusia yang mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa sama ada dari sudut dakwah, tarbiah, politik mahupun ekonomi.

Panjang pula ceramahnya. Aku mula menggosok-gosok mata. Bukan kerana mengantuk, tetapi menghalau syaitan yang tidak habis-habis mengusikku. Ha, kan cantik si Insyirah tu, apa tunggu lagi. Cis, syaitan ni, banyak songeh pula. Aku tampar syaitan berkali-kali tetapi ia masih terseringai di tepiku.

« Ana juga melihat, sudah tiba masanya untuk kita menzahirkan tarbiah kita secra legal di peringkat umum. Kita akan mengambil tayangan video tamrin-tamrin kita selama ini, gambar-gambar semestinya dan kita tayangkan dalam Malam Pengenalan MPP nanti. Kita akan nyatakan kepada mereka bahawa kita menyediakan latihan dan ta’dib untuk melahirkan generasi yang cintakan Islam. Kita mesti memperbaharui konsep sir hzar yang kita anuti dan fahami selama ini,” syarah Insyirah.

Aku mengangkat tangan ingin menyampuk. Insyirah mempersilakan aku untuk memberikan pandangan. “Maaf ukhti. Ap maksud kita mesti membetulkan konsep sir hazar yang kita anuti selama ini? Apakah ukhti mahu kami membuka segala-galanya sehingga gerakan kita akan dikenali dan menimbulkan effect yang menakutkan seperti yang pernah berlaku di UUM? Begitu maksud ukht? Mafhum mukhalafah yang ana fahami juga, ukht mempertikaikan pandangan murabbi kita terdahulu berkenaan konsep sir hazar?” aku menyuarakan pandangan dan persoalan yang tajam kepadanya.

“Bukan begitu maksud ana ustaz, ikhwah sekalian. Ana bermaksud, fasa makkiyah sudha berakhir dan sekarang merupakan fasa madaniyah. Fasa kita memperkenalkan siapa kita sebenarnya. Lagipun, apa yang mahu kita takutkan? Sir ini adalah untuk dua golongan. Satu, penakut dan dua, berjaga-jaga. Tetapi ana melihat kita sudah sampai ke tahap penakut. Apakah kita takut dengan perbincangan tentang gerakan Islam sedangkan buku-buku berkenaan tajuk itu sudah meluas? Apakah kita takut membincangkan soal Aqidah dan Perjuangan sedangkan perbincangan dan tulisan berkenaannya sudah banyak?”
“Ana setuju dengan Insyirah,” Zaki presiden WUFI bangun mahu jadi hero. Budak ni, sahla dia mahu potong line aku. Takpe takpe, nanti kita berhitung. Getus aku sambil meletup-letupkan tanganku di bawah meja.

“Kenapa kita mesti menyembunyikan tarbiah kita dan berapa lama lagi kita harus begini? Kita sepatutnya duduk dalam satu perbincangan yang lebih serius kelak untuk memperbaharui manhaj tarbiah kita. Berkenaan dengan pandangan Murabbi, bukan kita menafikan kredibiliti mereka mentah-mentah. Mereka mensyarahkan konsep sir hazar mengikut kondisi dan situasi mereka. Kita pula menterjemahkan kefahaman kita mengikut kondisi kita,” aku terpukul terus kali ini.

“Ya akh, ana sendiri pernah mendengar seorang ulama zaman dahulu berkata, » si Khairuddin pula bangun mencelah. Bila masa pula la mamat ni dengar ulama zaman dahulu kala berkata ni. « Kalaulah Abu Hanifah hidup pada zaman aku, bukan sahaja anjing, malah singa pun ia akan pelihara untuk menjaga keselamatan, ».

Ijtihad, ijtihad, ijtihad. Orang yang beku akan membenci ijtihad. Mereka bilang, ulama sudah ramai mengeluarkan pendapat, kita ikut sahaja pandnagan mereka lantaran kekontangan dada kita daripada ilmu. Muqallidun, inilah golongan itu. Ada pula menafikan penggunaan akal dan hanya meletakkan wahyu sebagai segala-galanya. Ini juga bukan prinsip ahli sunnah wal jamaah.

“Assalamualaikum, boleh ana cakap sekejap dengan ukhti,” aku menghubungi Insyirah hari itu. “Waalaikumussalam. Ya ustaz, boleh boleh. Tapi ana harap jangan lama-lama sangat sebab ana nak baca al-Quran dengan rakan sebilik nanti,” aduh, tersentuh hatiku. Memang benar kata orang, Insyirah tidak lekang dari mushaf al-Quran kecilnya. Ia membacanya di mana-mana. Dalam bas mahupun dalam kelas semasa menanti kehadiran lecturer. Sehingga ada seorang lecturer pernah mendengarkan bacaan di hadapan Insyirah dengan tujuan berguru.

“Oh maaf ukhti. Sat sat, Ukhti dah hafaz berapa juzu’ sekarang?” tanya aku sekadar ingin mengambil tahu. “Alhamdulillah ustaz. Selepas mendnegar nasihat dan saranan ustaz hari tu, kini ana telah menghafaz penuh juzu’ 25 ke 30. Insya Allah ana akan menghafal juzu 24 selepas ini,” balas Insyirah, baik pertuturannya. “Semuanya adalah kerana nasihat dan semangat yang ustaz berikan kepada ana. Alhamdulillah, juga terima kasih kepada ustaz,”

Aku tersenyum lebar. “Hurm begini. Ana nak tahu tentang perkembangan kita hari tu. Ayah dan Ibu dah setuju kan?” Tanya aku. “Ya ustaz, alhamdulillah,” Tak lekang mulut budak ni daripada memuji Allah. “Insya Allah ustaz boleh datang ke rumah ana untuk hal yang murni tersebut,” kata Insyirah, bunyinya agak malu dan perlahan. Aku bersorak dalam hati mendengarnya. Syukur kepada Allah, dapat juga aku lunaskan segala is hatiku yang tersorok selama ini. Telah lama kami rancangkan untuk memberitahu hal kami kepada ayah dan ibunya, baru sekarang tercapai.

Minggu depannya, aku ke rumah Insyirah untuk mengambil gambar dan menemuramah keluarga Haji Sibyan yang akan terpilih sebagai Keluarga Mithali di bawah kerajaan Negeri Selangor. Manakala Insyirah pula terpilih sebagai anak muda harapan. Isteriku turut membantuku dalam proses tersebut .


Sumber:Ustaz Dzul Khairi Mohd Noor

No comments: