Friday, March 18, 2011

Warna-warni Kehidupan :)




Assalamualaikum wbt dan Salam ceria buat semua.

Alhamdulillah tadi dah dapat nilai Anestesi. Dah selesai tinggal satu lagi department iaitu Radiology. InsyaAllah akan cerita tentang anestesi lagi pada entri lain. Kali ini nak cerita tentang warna-warni kehidupan. Banyak warna dalam hidup ini kan. 

Ada orang suka warna ini tak suka warna itu. Ada orang apabila dia dah suka warna tertentu, warna-warna lain memang dia dah tak pandang. Kadang-kadang bukan setakat tak pandang tapi dia mula nampak warna lain dari sisi negatif. Warna yang dia suka sahaja yang positif dan cantik. Inilah kehidupan kita.

Indahnya alam dan kehidupan ini kan? Cuba kita renung ciptaan Allah swt memang berwarna-warni dan tidak wujud dalam satu warna atau lebih tepat lagi satu jenis sahaja. Cuba pandang ke langit. Dongak sebentar ke luar. Cantik kan? Warna biru putih. Cuba lihat ke sekeliling ada pokok dan tumbuhan yang berwarna hijau. Belum lagi kita lihat bunga-bunga yang macam-macam warna. 

Seterusnya kepada ciptaan-Nya yang bernama manusia. Kita juga ada berbagai-bagai warna kulit dan rambut. Lihat sekeliling kita, contohnya di Malaysia negara kita. Cuba lihat di sini, Bandung. Walaupun dari negara Indonesia, tapi kita dapat bezakan yang mana orang yang asal Jakarta yang mana asal Bandung. Dia orang sunda atau jawa. Semuanya berbeza-beza dan bukan datang dari satu bangsa sahaja.

Tercatat dalam Al-Quran tentang ini,


 

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan. Dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa. " (QS 49:13)



Kehidupan yang berwarna-warni bukan terhad kepada ciptaan-Nya sahaja, tetapi cuba kita sama-sama lihat dan renungkan lagi tentang apa-apa yang berlaku dalam hidup kita. Kita pernah kecewa sedih takut risau jatuh gagal dan sebaliknya pernah merasakan kejayaan gembira tenang bahagia. Itu semua warna kehidupan kita yang saya pasti semua orang pasti pernah melalui dan merasakan. 

Kita pergi kepada sikap kita yang berwarna-warni. Pernah marah? Semua sifat mazmumah yang negatif? Itu semua saya lambangkan kepada warna hitam dan kelam. Hati yang tenang? Semua sifat mahmudah yang positif? Saya lambangkan dengan warna yang tenang ceria dan cantik. Kita berada dalam warna yang mana satu? Sama-sama kita renungkan dan muhasabah sejenak. 

Kesimpulan yang saya dapat buat adalah, saya banyak belajar dari warna-warni kehidupan yang saya pernah lalui dan sedang lalui. Banyak juga saya jumpa dengan warna-warna  yang memang nak atau tak nak terpaksa jumpa. Di akhir hari banyak pelajaran dan hikmah yang tersembunyi di sebalik semua warna tersebut :)

Allah swt tidak hadirkan sesuatu warna dalam kehidupan kita dengan sengaja. Banyak hikmah yang tersembunyi yang belum kita dapat lihat atau terlihat. InsyaAllah.

p/s: entri hadiah ke adik dan eji :)
 

1 comment:

sinar_islami said...

(^_^) Like this post