Assalamualaikum wbt
Hari terakhir dalam tahun masihi 2010, saya tutup dengan artikel di bawah. Semua orang mencari ketenangan (sakinah). Semoga kita semua bertemu dengan sakinah yang kita cari. InsyaAllah.
(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra'd : 28)
Makna Mengingati Allah
Bersama Mohd Zawawi Yusoh
PADA suatu Subuh, Saidina Bilal melihat Rasulullah s.a.w menangis
teresak-esak. Apabila Bilal bertanya mengapakah baginda menangis, lalu
Rasulullah s.a.w menjawab baginda baru saja menerima wahyu (ayat 191
hingga 195 surah Ali-Imran).
Apakah kandungan ayat berkenaan yang menyebabkan Rasulullah s.a.w
menangis? Dalam ayat pertama, Allah menerangkan mengenai sifat orang
yang mengingati-Nya pada waktu berdiri, duduk dan berbaring.
Menurut Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirnya, semua keadaan itu
(berdiri, duduk dan berbaring) adalah simbolik untuk semua keadaan
termasuk peribadi, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain.
Maknanya dalam seluruh hidup kita sama ada belajar, bekerja, bergaul,
berumahtangga malah apa saja, adalah dalam keadaan sentiasa mengingati
Allah.
Apakah yang dimaksudkan dengan sentiasa mengingati Allah? Adakah ini
bermakna kita menyebut perkataan Allah, Allah, Allah, pada setiap masa?
Sebenarnya apa yang dituntut Allah ialah supaya kita menentukan setiap perkara yang kita lakukan mestilah:
- Untuk mencari matlamat Allah;
- Dilaksanakan mengikut syariat Allah; dan
- Meletakkan pengharapan kepada Allah, bukan kepada usaha kita semata-mata.
Ini bermakna kita perlu sentiasa memikirkan adakah kehidupan kita
seluruhnya berada dalam keadaan seperti di atas. Adakah kita telah
menjadikan seluruh hidup kita sebagai perhambaan kepada Allah dalam
pengertian di atas?
Dalam ayat seterusnya Allah menyebutkan sifat mereka yang berfikir mengenai keajaiban kejadian langit dan bumi.
Mereka berfikir sehingga dapat membuat kesimpulan bahawa semuanya
dijadikan Allah bukan sia-sia. Kemudian mereka berdoa supaya
‘selamatkanlah’ diri mereka daripada api neraka.
Abdullah Yusuf Ali menafsirkan api adalah simbolik kepada hukuman
yang pedih. Apa yang penting di sini ialah hubungan antara berfikir
dengan selamat daripada api neraka.
Marilah kita bertanya diri sendiri adakah kita sudah berfikir dengan
bersungguh-sungguh sehingga kita merasai akan kehebatan ciptaan Allah?
Banyak perkara yang boleh kita fikirkan, misalnya penciptaan manusia
sendiri dan penciptaan unsur utama alam iaitu udara, air, tumbuhan dan
haiwan.
Kehebatan ciptaan Allah sepatutnya menjadikan hati kita tunduk pada
kebesaran Allah. Apabila kita tunduk pada kebesaran Allah, kita akan
mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Kita sedar kejayaan yang sebenar ialah apabila kita selamat daripada
api neraka. Allah menyebutkan dalam ayat di atas, sesiapa yang
dimasukkan ke dalam api neraka sebenarnya mendapat kehinaan.
Cuba kita fikirkan mengenai kegagalan yang dialami di dunia ini.
Sekiranya kita gagal peperiksaan pun kita berasa malu dan terhina.
Begitu juga dengan orang yang gagal dalam temuduga pekerjaan, berasa
malu dan hina. Apa lagi orang yang didapati bersalah dan dihukum masuk
penjara, mereka akan berasa kehinaan yang lebih besar lagi.
Jadi satu ciri azab akhirat ialah kehinaan. Kita terhina di hadapan
seluruh manusia, di hadapan Allah dan para malaikat-Nya. Bukankah ini
merupakan sumber motivasi yang terbesar untuk manusia mengabdikan diri
kepada Allah dalam pengertian sebenarnya?
Dalam ayat di atas juga disebutkan, mereka berdoa sekali lagi supaya
Allah tidak menghinakan mereka di akhirat. Ini menunjukkan betapa
beratnya seksaan menanggung kehinaan di akhirat nanti. Lebih berat
daripada segala bentuk kehinaan di dunia.
Akhirnya Allah memperkenankan permohonan mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.
Sekali lagi, Abdullah Yusuf Ali mengatakan sungai-sungai yang
mengalir di bawahnya ialah simbol kebahagiaan dan kemewahan yang tidak
terhingga yang sesuai dengan keadaan masyarakat Arab pada masa itu
(ketika wahyu diturunkan).
Ini kerana sungai satu nikmat yang tidak terhingga bagi masyarakat yang hidup di tengah padang pasir yang kering kontang.
Oleh itu, sudah tentu kita boleh membayangkan bentuk kemewahan dan
kenikmatan yang tidak terhingga itu. Malah Rasulullah s.a.w pernah
bersabda bahawa nikmat di syurga Allah adalah sesuatu yang tidak pernah
dipandang, tidak pernah didengar dan tidak pernah terlintas di hati
manusia. Itulah nikmat dan kejayaan sebenar.
Apakah yang perlu kita fikirkan? Sebenarnya perkara yang disebutkan
di dalam ayat di atas itulah perkara pertama yang perlu kita fikirkan.
Selain itu, ada perkara lain lagi yang perlu kita fikirkan.
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah menceritakan mengikut apa yang
tersebut di dalam kitab Nabi Ibrahim a.s yang bermaksud: “Sewajarnya
setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan
masanya kepada empat waktu iaitu:
- Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.
- Waktu untuk dia bermuhasabah terhadap dirinya.
- Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan Allah.
- Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.
Adakah kita sudah memikirkan mengenai empat perkara di atas ataupun
kita menumpukan pemikiran kepada aspek tertentu sahaja? Dunia di
sekeliling kita hanya memikirkan mengenai perkara yang keempat.
Sekiranya kita tidak berhati-hati, suasana yang ada di sekeliling
kita boleh mempengaruhi kita sama ada kita sedar atau tidak. Mungkin
secara tidak disedari kita hanya memikirkan persoalan yang keempat
sahaja. Rugilah dan malanglah kita.
No comments:
Post a Comment